Wednesday, August 29, 2012

SimpTom KuRanG SiHat. TahnIah

Sudah ada simptom berkenaan. Macam mana pun dah berkurangan. Cuma sakit tekak ni nak kena jaga. Air masak/putih/mineral/suam dan yang sewaktu dengannya yang menjadi pilihan sekarang. What to do...itu je yang termampu tahan dek tekak. Ais tidak digalakkan. Menambah perisa kepada kesakitan yang sedia ada.

Aduh...kejap lagi ada majlis makan-makan oleh staf. Banyak menu sedap-sedap. Nak buat-buat pantang rasa macam tak seronok je. Nak kena pantang juga ke? Tapi rasa sikit takpe kan..kan. Kira tutup sebelah mata je la kan..hehehe

Sebelum terlupa, nak ucap tahniah kepada kawan merangkap junior masa sekolah dulu (walaupun tak pernah jumpa kat sekolah), junior satu kursus, satu universiti dan juga rakan ofismate yang tak jadi sebab aku dah berhenti dulu sebelum dia masuk kerja (punya panjang intro nak kenalkan budak ni)..hanif yang sudah selamat melangsungkan perkahwinan pada 24 Ogos lepas. Tahniah...tahniah..semoga jodoh berpanjangan hingga ke akhir hayat. Sori juga tak dapat nak datang kenduri masa 15 Sept. Akak kena balik kampung, sepupu kahwin huhu..

Seronok dengar cerita kawan-kawan dah kahwin. Aku?? hahaha bahagia seadanya. Doa-doakan lah semoga aku dapat kahwin. Nak spesifik lagi?? Korang doakan aku kahwin awal tahun depan. hahahaha

Tuesday, August 28, 2012

CuTi BerAYa

Hari ni baru start masuk kerja lepas cuti beraya yang agak panjang. Heheh seronok raya tahun ni. Banyak berjalan ke rumah saudara mara. Mana tahu tahun depan mungkin susah sikit nak pergi. Sebab?....hehehehe.
Okay tahun ni juga dapat buat macam-macam aktiviti. Main boling, lepak kat TC jam 2 pagi (Teluk Chempedak..siapa2 budak Kuantan memang tahu nama singkatan ni), berkelah sambil memukat ikan. paling seronok berkelah lah. Bayangkan dari siang sampai ke tangah malam berkelah. Tak pernah-pernah dibuat orang tu yang kami buat hehe.

Balik sabtu pagi lepas sahur. kononnya nak cepat sampai. Sudahnya sangkut dua jam kat Lebuhraya Karak smapai ke Tol Bentong. Sebabnya, ramai orang berhenti rehat. Lepas daripada tu jalan clear. Sampai kat Homestay jam 9.30 pagi. Rehat sekejap sebelum kemas rumah dan siapkan juadah berbuka dengan persiapan menu raya. Duduk kat situ untuk beberapa hari sebelum orang datang menyewa. Pada mereka yang datang ke Kuantan, bolehlah nak menyewa homestay kami ni (sempat promosi lagi).

Raya pertama, siapkan juadah Laksa Johor, menu wajib mak buat dan bawa ke rumah arwah tok. Makcik-makcik lain pun ada sediakan menu. Macam-macam ada. Mee jawa, nasi minyak, mi calong, nasi impit, ketupat palas dan rendang. Memang meriah. Nak pula, ramai saudara arwah tok datang. Kerja layan tetamu je lah hari pertama tu.

Raya kedua singgah kubur arwah tok dan toki. Lepas tu, baru keluar berjalan. Pergi rumah saudara dekat Pasar Ikan Beserah, Taman Satelit dan yang mana berdekatan. Memang berjalan habis.

Cakap pasal raya dan cuti panjang memang tak sah kalau tak ada kenduri kahwin. Sempat juga singgah kenduri dekat Bukit Rangin. Kat kawasan homestay pun ada. Ada dalam tiga tempat pergi. Boleh tahan kembung perut, asyik sumbat makanan.

Sambung beraya lagi kat Panching, Balok baru, Balok, Kemaman dan lain-lain tempat hari yang berikutnya. Kesimpulannya, tahun ni memang banyak berjalan. 

Selain daripada tu, aktiviti femes di kalangan kami sepupu-sepupu adalah Whatsapp. Nak pulak buat group chat. Seorang hantar cerita habis semua dapat tau. Senang nak jejak. Masing-masing pun senang nak rancang aktiviti. Yelah, saudara mara ramai. Cara yang terbaik Whatsapp. Sekejap je dah dapat plan aktiviti macam-macam. Rancangan mengenakan orang pun boleh. Rancangan menjeleskan sepupu yang tak dapat join aktiviti pun boleh. hahahaha...memang terbaikk!!



Tuesday, August 14, 2012

IftAr di PapA JohN

Semalam first time berbuka puasa di luar dengan housemate. Kami pergi bertiga dengan anak saudara Kak Kirah. Tempat iftar pun tak jauh dari rumah, kalau nak diikutkan boleh saja jalan kaki tapi kakak housemate kata "pakai baju kurung jadi malas pulak nak berjalan kaki". Maka, pergilah dengan kereta.

Sampai agak awal kat restoran tersebut. Dapatlah pilih tempat yang best-best. Anak buah kak Kirah pilih tempat tepi tingkap yang boleh menghadap pandangan luar. Dah siap pilih tempat, order dulu menunya lepas tu baru keluar jalan-jalan sekitar Plaza Masalam tu. Saja tengok-tengok mana tau ada yang berkenan. Tapi tak beli apa-apa pun. Cuma snek ringan untuk makan malam karang.

Dah puas jalan barulah balik ke restoran, tunggu waktu berbuka dan......Soru!!!

menu yang diorder tapi tak lengkap. Tak dan nak ambil gambar menu lengkap sebab dah bedal dulu.

air wildberry yang menarik. Nampak tak buah ceri kat bawah tu

Monday, August 13, 2012

SamBungAn BisUL

Sambungan daripada cerita bisul.

Hari Jumaat tu tumpang tidur rumah kawan kat Sek.17 memandangkan ada program iftar dengan kawan-kawan opis kat Flaming Steamboat Shah Alam. Masa tu buat tak kisah lagi dengan bisul tu. Yelah tak usik, tak sakitlah. Usik, boleh menyanyi soprano lah juga. Jadi, biarkan.

Petang tu lepas dah siap hantar kawan pergi perhentian bas kat Sek.17, aku dan Kak Fiza pergi ke tempat yang dituju. Aku tak pernah pergi lagi kat situ, jadi jalannya tak familiar. Namun, disebabkan kelebihan yang Allah beri (kata Kak Fiza), kami mudah jumpa tempat berkenaan. Alhamdulillah, setakat ni kelebihan yang Allah beri ni jarang benar aku sesat nak pergi mana-mana. Ibaratnya memang aku tak takut nak explore jalan-jalan sekitar sekiranya aku seorang saja.

Dah sampai kat Flaming, kami jumpa dengan kawan opis yang lain dan duduk. Sementara yang lain tengah berebut ambil bahan-bahan steamboat, aku dan Kak Fiza pergi ambil kuih-muih. Malas nak berebut. Makan saja apa yang ada dulu. Dah sudah berbuka dengan air, aku dan Kak Fiza segera bergegas ke surau. Nak tahu, surau di restoran ni sangatlah kecil. Dalam satu masa boleh muat tiga orang je. Jadi, kena pergi awal-awal solat sekiranya tak mahu beratur panjang macam nak tukar duit raya baharu kat bank. Dah lepas solat, barulah puas hati dapat makan macam-macam. Makan sampai kenyang tu. Rugi bayar RM27 tak makan tapi takdelah sampai kembung perut. Setakat merasa sikit-sikit apa yang terliur saja. Yang ruginya, masa kat sini tak sempat nak bergambar. Rasa teruja nak berbuka tu lebih sampai tak teringat.

Ok..aku kembali pada tajuk. Panjang pula cerita tadi. Ada kena mengena la juga sebenarnya. Dah lepas berbuka, kami balik dan masing-masing tidur tak ingat dunia. Ops, lupa. Ada satu cerita lagi sebenarnya. Ingat tak pasal kawan yang kami hantar ke perhentian bas tu. Rupa-rupanya, masa kami hantar dia bas ekspres tu dah lama gerak. Jadi dia tertinggal bas. Sudahnya, malam tu dia tumpang tidur juga rumah Kak Fiza sebelum bertolak balik pagi Sabtu. Serba salah juga kami dibuatnya sebabnya hantar dia gak terlewat sikit dari jadual. Tak sangka pula bas betul-betul bertolak ikut masa. Memang kesian kat dia. Mujur ada seorang lagi housemate Kak Fiza yang baik hati tolong ambil kawan tu kat perhentian bas.

Ok..aku dah lari jauh...kena kembali lagi ke pangkal jalan. Sambung pula cerita bisul. Keesokan hari (hari Sabtu), lepas hantar kawan yang tertinggal bas tu naik bas lain, aku dan Kak Fiza pergi klinik. Masa sampai tu aku tengok ramai juga orang yang datang. Jadi, giliran aku lambat sikit. Dah tunggu agak dalm 20 minit baru nama aku kena panggil. Masa masuk dalam bilik doktor, rasa tenang saja. Takde rasa cuak. Tapi bila doktor suruh aku baring, mulalah rasa cuak datang berganda-ganda. Bila doktor tu spray ubat bius belakang telinga lagilah rasa dug-dag-dug-dag. Masa dia cungkil bisul tu, sakitnya hanya aku dan tuhan je yang tau. Lepas letak dressing, doktor bagitau jangan buka dan kena jumpa dia lagi Isnin tu nak tengok balik ada lagi tak nanah yang tinggal lepas tu kena cuci. Yang paling tak seronok, doktor kata jangan bagi kena air tempat balutan tu. Aiseh, aku tak dapatlah nak basuh rambut. Terasa betapa tak selesanya nanti. 

Jadi, hari ni dah Isnin. Maka kejap lagi aku kena keluar jumpa doktor. Tak sabar-sabar nak buka balutan ni. Tak tahan. Rasa nak garu-garu saja. huhuhu.

Friday, August 10, 2012

BisUL

Aku rasa betul lah aku ada bisul. Kat belakang telinga. Mula-mula fikir jerawat je. Biasalah, peel jerawat ni memang pelik-pelik. Suka timbul kat tempat pelik-pelik. Jadi, aku biarkan.

Tapi lama-lama jerawat tu tiba-tiba makin membesar. Terus aku terfikir, ni bukan jerawat kalau dah sebesar kacang kuda. Sakit bila picit-picit kat situ. Rasa sakit jugak tiap kali ambil wuduk asyik terkena bahagian tu. Kadang-kadang rasa geram je. Nak je picit-picit bagi pecah. Biar padan muka dia. Pueh hati aku.

Tapi apa kan daya. Aku ni bukanlah berani sangat. Setakat jerawat aku tak kisah lagi. Picit-picit pun sakitnya takdelah teruk sangat. Kalau dah bisul sebesar kacang kuda ni jika dipicit, Aduh! Aku boleh bayangkan sakitnya macam mana. Belum lagi nak bayangkan air nanah yang meleleh keluar tu nanti. Ditambah dengan darah yang meleleh sekali...

Eeeeeeeeee...tak mahu picit!

Huhuhuhu...

Nota kecil: aku kena jumpa doktor nampak gayanya...hmmmmm

Friday, August 03, 2012

LearN How To...

Alhamdulillah..dah selesai Program Bubur lambuk tadi. Dapatlah menolong serba yang patut. Yelah, aku kan AJK kenalah tolong. Alhamdulillah masing-masing dapat sebekas seorang.

Sempatlah juga belajar dengan otai masakan macam mana nak buat bubur lambuk. Banyak jugak bahan-bahannya tadi. Lepas tu,main campak-campak. Seronok kan. Yang penting dah buat dan beri pada staf. Enak tak enak, kejap lagi masa berbuka baru dapat rasa. 

Alhamdulillah dah ada rezeki nak berbuka. Itu pun dah bersyukur hehehe

Thursday, August 02, 2012

HujaN.ProgrAm BuBur LamBuk

Hari ni buat kesekian kalinya, hujan lagi di waktu pagi kat Shah Alam.

Jarang pergi kerja pagi-pagi hujan macam ni. Pagi-pagi dah nampak kilat dan bunyi guruh berdentum. Selalu tengok pun waktu petang-petang.

Takpelah rahmat hujan pagi turun, memandangkan waktu petang asyik cerah.

Esok nak kena bersiap sedia. Dapat arahan jadi AJK Program Bubur Lambuk kat Main Library. Aku kena jadi AJK Persiapan. Siap bagitau bawa pisau dan papan pemotong. 

Pertama kali merasa buat bubur lambuk ramai-ramai. 

Tuesday, July 31, 2012

OffLine

Hmm..semalam ingat nak renew lesen lepas photoshoot. Sudahnya, pejabat pos punya sistem offline. Dan sudahnya lagi, aku tak dapat renew. Maka dengan itu, aku sekarang jadi pemandu haram huhuhu. Hari ni nak pergi renew jugak....tapi.....pagi-pagi cuaca tak berapa mengizinkan. Pagi-pagi masa mandi aku tengok mendung semacam. Elok lepas solat Subuh dah dengar bunyi guruh. Keluar rumah, titik-titik hujan dah mula turun.

Sudahnya, aku kena tangguh pergi ke pejabat pos. Hmmmm, takpe dugaan berpuasa. Cuaca dah baik, aku akan bergerak dengan segera. Tak mahu lambat-lambat. Nanti terlupa.

Monday, July 30, 2012

PhotOshOOt SessiOn

Hari ni nak siapkan laporan KKM, sambungan minggu lepas. Baru dapat siapkan selepas diperam dari bulan Februari dulu. Huhu lama kan. Lepas ni nak buat kerja update silibus untuk projek bahagian Encik Zul. Baru nak siapkan satu program. Ada lagi empat program. Agak mengantuk buat kerja ni. Tedious juga. Banyak benda nak kena semak. Sekejap kat OPAC sekejap kat Nielsen sekejap kat Amazon.com Tapi, buat jelah. Janji dapat siapkan sebelum 15 Syawal (tu tarikh yang dijanjikan hehe).

Petang karang nak singgah pejabat pos dulu sebelum pergi Main Library. Nak renew lesen memandu. Karang tak pasal-pasal masalah timbul. Dah siap renew baru pergi Main Library. Ada sesi fotografi staf perpustakaan. Siap ada photographer jemputan daripada FSSR. Hari ni aku tengok, staf masing-masing pakai hensem-hensem dan lawa. Hehehe nak ambil gambar kan. Mestilah kena cantik, segak, kemas bergaya. Aku? Aku pakai biasa-biasa je janji gambar aku tak comot hehehe. Gambar staf ni diambil untuk tujuan rekod dan kemaskini maklumat staf. Mana-mana staf nak copy gambar tu kena bayar RM2 dan akan diberi cd. Bolehlah guna untuk benda-benda lain yang memerlukan gambar peribadi hehe.

Thursday, July 26, 2012

AlhamdulillaH RezeKi

Dapat tau berita bonus yang baru menjengah, rasa seronok. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih!

Walaupun, gaji bulan Julai baru masuk semalam tapi dah dengar dapat bonus, melonjak-lonjak rasanya (huiiish, jangan seronok sangat, sabar).

Ok. hentikan keseronokan sementara. Kerja masih menanti. Tengah menyiapkan dua kertas kerja untuk program jabatan dan bersama fakulti. Masih lagi mengarang ayat.

Baru je habis menyemak maklumat-maklumat untuk dipamerkan ganti maklumat pameran yang lepas. Dah siap suruh, staf betulkan sikit design bagi kemas. Lepas tu dah boleh cetak dan tampal kat sudut pameran. Oh, tajuk kali ni berkenaan zakat. Kena dengan bulan puasa ni. Bagi ilmu tambahan kat pelajar dan juga staf.

Maklumat kat dalam portal perpustakaan pun nak kena semak semula. Ada penambahan dan kemas kini maklumat. Pada mereka yang nak lihat boleh tengok kat sini http://library.uitm.edu.my/ptar2

Lepas ni nak kena semak semula bahan-bahan dalam Bilik Koleksi Akses Terhad. Bahan-bahan yang nak ditambah dan dikemas kini kena tengok sama ada nak kekal atau ubah ke lokasi lain. 

Tengah hari karang nak pergi PPUM sekejap. Nak melawat staf sakit. Kena jangkitan kuman. Semoga beliau sembuh segera. Kesian pulak dengan mengandung lagi. Harap takde apa-apa berlaku kat kandungan. Amin.

Wednesday, July 25, 2012

PuAsA.RumAh SewA

Semalam hari kedua berbuka di rumah sewa. Takde apa yang istimewa. Sama macam orang lain, beli makanan kat bazar ramadan. Yang penting tak beli banyak-banyak pun. Tak habis nanti dan membazir. Sekadar beli makan yang boleh buat perut berisi. 

Setakat ni tak sempat lagi nak memasak. Yelah duduk dengan sorang je housemate, nak masak takut tak habis pulak. Sudahnya, makan je apa yang ada. (hihihi sebenarnya malas). Nantilah, datang mood nak masak baru aku masak.


Monday, July 23, 2012

SelAmAt MenyAmbuT RamaDan

Hari ni dah masuk hari ketiga berpuasa. Sekejap je rasa kan. Walau bagaimanapun, selamat menjalani ibadah sempurna di bulan ramadan. Minta maaf andainya terkasar bahasa, atau terkurang sopan di mana-mana. Semoga ibadah kita pada tahun ini bertambah baik daripada tahun sebelumnya.



SuDah MenYEwA

Nak dikhabarkan, bermula hari ni aku akan menyewa di Shah Alam. Akhirnya setelah puas menilik dan berfikir barulah aku dapat duduk menyewa. Tapi sedih jugak sebab dah tak dapat berbuka dengan famili tiap-tiap hari. Hujung minggu je aku dapat balik rumah untuk berbuka bersama famili. Kiranya ni pertama kali aku berpuasa di rumah sewa. Nak rasa pengalamannya macam mana...hmmm, belum apa-apa dah mula rasa sedih.

Friday, June 29, 2012

MenYewa

Dah fikir lama sebenarnya nak menyewa kat Shah Alam ni. Yelah, dah tak larat kot nak memandu gombak-shah alam-gombak tiap-tiap hari. Selepas tiga tahun, dah terasa aura ketidaklaratan. Sebelum ni berlagak-megah-gagah-perkasa boleh nak ulang-alik tapi setelah memikirkan tenaga dan sumber kewangan yang boleh buat mata berpusing-pusing, jadi terpaksa melupakan lagak-gagah-perkasa. Kenalah kembali ke dunia nyata bahawa aku ni manusia kerdil. 

Dah mula bertanya-tanya pada kawan, jadi dah dapat tempat. Sekarang ni, cuma nak meyakinkan mak ayah untuk keluar. Yelah, dah lama duduk dengan mak ayah jadi tak tahu apa reaksi mereka. Berdoa banyak-banyak, agar keputusan yang diambil diterima. Mungkin banyak persoalan tapi setelah memikirkan banyak perkara, aku rasa ini jalan yang terbaik. Lagipun bukan aku tak balik rumah. Hujung minggu aku baliklah. 

Nota kaki: Ya Allah, permudahkanlah urusanku.

Tuesday, June 19, 2012

TabAhKan HAti

Ya Allah..mohon ketabahan hati. Mohon doa banyak-banyak kepada Mu supaya mak sembuh. Aku tak tau kenapa aku masih lagi di opis walaupun dah dengar berita mak masuk hospital tadi. Sejujurnya aku risau tapi tak mampu nak buat apa-apa.

Aku takde kenderaan nak balik sekarang. Tengah menunggu seseorang. Tapi dia tak balas mesej dari tadi. Kecewa sangat-sangat ni. Dah buntu. Tak tahu nak buat apa sekarang. Ya Allah, tolong aku.

Tuesday, June 12, 2012

SayA Jadi teNaga PengajAr laGi Hari Ini..Hidup DataStream

Ok. Kena jadi tenaga pengajar lagi kepada rakan-rakan librarian. Walaupun makcik berpuasa hari ni tetapi masih gagah untuk bercakap di depan rakan-rakan. Biasalah senang mengajar rakan-rakan. Kita boleh cakap dengan bahasa yang mudah dan boleh difahami. Memandangkan masing-masing dah tau serba sedikit pasal online database ni, aku cuma terangkan mana-mana perkara yang penting.

Kadang-kadang data yang nak dicari tak susah. Yang jadi susah bila user sendiri tak tahu nak cari apa. Dalam latihan tadi, aku berikan tips-tips yang berguna untuk digunakan. Yang lain, kena rajin explore baru dapat tahu caranya.

Harapnya apa yang aku dah ajar tadi, masing-masing dapat manfaatkan. Kalau masih ada yang tak faham, boleh saja hubungi makcik ni. hehehe 

Monday, June 11, 2012

DuGaan MAcam Ni MemAng Yang TeRbaik Aku HAdapI

Haha Masa aku puasa ni lah macam-macam dugaan nak datang kan. Dah tadi aku terlewat pergi opis gara-gara keretaku yang dipakai oleh somebody and that somebody beria-ia janji nak hantar aku pergi kerja dan aku bersetuju saja lah memandangkan betapa bersungguh-sungguhnya dia. Sudahnya taht somebody boleh terbangun lewat dan kami bertolak dari rumah jam 7.20 pagi. Mula-mula rasa angin jugak tapi fikir tengah puasa, jadi redalah sekejap. Tambah lagi that somebody mohon maaf bersungguh-sungguh jadi aku pun biarkan. Mujur bos tak banyak ragam dan tak banyak soal maka aku terlepas hehe. Nak pulak memang aku kena masuk lewat ke opis sebabnya nak pergi keluarkan duit kat bank pakai kad kredit. 

Dah sampai kat bank, lagi satu dugaan aku terima. Kad aku kena telan dengan mesin ATM. Aduh, masa-masa urgent ni lah dia buat hal. Aku dahlah nak pakai duit tu cepat, boleh jadi masalah pulak. Masa pergi kat kaunter boleh pulak orang tu cakap "Puan kena tunggu dulu ya. Kami tak boleh buka mesin tu sebab kita bagi orang luar. Orang yang nak datang pun tak tau bila sampai. Puan isilah dulu borang ni, nanti kami hubungi puan." Heiiii, kamu tahu tak yang aku nak pakai duit tu SEGERA. bukannya esok,  bukannya petang karang. Memang rasa terbakar je. Ikutkan hati memang nak hambur je tapi bila fikirkan aku berpuasa maka aku tahan. Sempat lagi aku senyum dan minta mereka hubung dengan segera. Tapi boleh mamat tu pandang-pandang semacam je. Taulah aku senyum ni cantik,tak payah nak tengok lama-lama. Bukan aku nak ngorat kamu pun. 

Hmm, sabar jelah..

Friday, June 08, 2012

NoT iN The MoOd

Adeh. Hari ni segala macam angin nak datang. Dengan angin sakit hati, kecewa, risau, marah..bercampur baur jadinya. Mujurlah dah lepas program-program yang mencabar minda. 

Dah lepas kejohanan boling. Baru tadi nak siapkan laporan pelarasan bajet. Kena lengkap, kalau tidak habis gaji I bulan depan. Laporan kejohanan tak buat lagi. Minta tolong staf buatkan sebab aku terpaksa fokus kepada perkara yang lain. Tetapi Alhamdulillah, tercapai matlamat aku nak jadi Top 16 players. Dan tak disangka-sangka aku dapat no 12. Berbaloi dengan segala kerja keras yang aku buat. Bukan senang nak jadi antara yang terbaik dalam UiTM seluruh Malaysia kan. Kira rezeki aku lah tu. Alhamdulillah juga aku dapat hadiah yang tak disangka-sangka daripada coach tak rasmi aku, dapat bola boling baru hehehe. Aku dah siap train pakai bola tu.

Dah lepas jugak, program CIS. Baru semalam habis. Ada suka ada duka sepanjang perjalanan program. Walaupun ada aku rasa kecewa sikit tapi terima je lah dugaan yang datang. Boleh diambil sebagai pengajaran untuk program yang akan datang. Namun, aku tetap berpuas hati. Ini baru sikit. Belum lagi perkara-perkara lain. Jadi kena fikir positif dan teruskan.

Tadi baru lepas sesi temubual dengan Ketua Bahagian Jurnal. Beliau meminta pendapat aku sikit berkenaan online database yang menang highest usage award. Jadi aku beritahu serba sedikit cara promosi dan lain-lain yang berkenaan. Lama juga temubual tadi. Adalah sempat bergosip sikit hehehe.

Hmm..apa lagi. Sebenarnya banyak benda lagi nak cakap tapi tak mampu nak tulis kat sini. Terlalu serabut kot.  Mohon dikuatkan semangat..

Friday, May 25, 2012

YeAh..

Yeah..lega! Semalam dah buat perbincangan pasal perasmian dan teks ucapan. Mujur aku tak kena duk depan dengan VIP. Tak tau nak borak-borak apa dengan KP nanti. Aku jadi orang belakang tabir. Bos yang akan duk depan dengan VIP. Selamat! Mujur juga ada Kak Bai dan Kak Lah di situ. Penyelamat keadaan memandangkan tumpuan aku kena bahagi dua sekarang ni. Satu nak fokus pada program CIS ni satu lagi fokus  pada pasukan boling library. Tu belum lagi nak bahagi tiga bila masuk bab peribadi. Nak tolong mak uruskan hal kenduri doa selamat dan nak beli perabot segala bagai untuk homestay. Mujur ada adik-adik yang boleh dilepaskan tanggungjawab.

Semalam buat latihan rasmi untuk boling. Lelaki dan wanita. Yang lelaki aku tak hiraukan sangat sebab aku dah tengok cara mereka bermain masa rabu petang. Yang wanita aku kena kisahkan. Nak tengok cara mereka pulak. Alhamdulillah, setakat ni ok. Cuma kena tingkatkan lagi latihan. Semalam pun markah mereka agak bagus. Kena kekalkan prestasi. Result aku pun agak bagus tapi risau juga, selalu masa latihan score memang cantik. Bila pertandingan je selalu score tu entah ke mana hala. Harapnya kejohanan kali ni aku dapat fokus. Latihan rasmi sesi kedua aku tak dapat nak join. Nampak gaya berlatih sorang-sorang nanti. Mungkin aku akan berlatih masa lepas mesyuarat Pengurus Pasukan rabu minggu depan. Ada peluang aku nak rasa berlatih kat tempat perlawanan, Sunway. Dah lama tak bermain kat situ. Rasa-rasanya 3 tahun lepas aku pergi sana dengan best friends (Dekni, Sal & Marli). Yup betul 3 tahun yang lepas, aku ada cerita kat sini. Huhuhu lama jugak tu. Dah tak tau rasa lane dia macam mana. Nak kena ujicuba betul-betul ni. Semangat giler nak bermain boling ni hahahaha..menang belum tentu lagi tapi sekiranya menang pun Alhamdulillah rezeki namanya tu.

Esok dah nak bertolak ke Kedah. Baju tak kemas lagi. Aduyai nak kena memikir pulak baju apa nak pakai. Hmmm, nampak gaya aku akan bermain campak-campak je la baju yang mana sempat aku capai nanti. Nak kena kemas baju untuk balik kampung lagi. Beg aku akan jadi dua nanti. Satu pakaian untuk ke Kedah, satu lagi untuk ke kampung. Hmmmm...serabut...

Wednesday, May 23, 2012

SakiT KePala

Hari ni baru terasa kepala sakit. Rasa berdenyut-denyut. Nampak sangat banyak berfikir. Memang betul, tengah menaip ni, otak masih boleh fikir benda lain. Tak pernah berhenti. Kena tahan jela sampai balik nanti. Balik lewat nanti. Nak kena pergi sesi pemilihan boling pastu singgah jap nak jumpa pembekal minyak wangi. Nak ambil stok minyak wangi. 

Nota kaki: Kena sapu balm baru lega ni..