Sambungan daripada cerita
bisul.
Hari Jumaat tu tumpang tidur rumah kawan kat Sek.17 memandangkan ada program iftar dengan kawan-kawan opis kat
Flaming Steamboat Shah Alam. Masa tu buat tak kisah lagi dengan bisul tu. Yelah tak usik, tak sakitlah. Usik, boleh menyanyi soprano lah juga. Jadi, biarkan.
Petang tu lepas dah siap hantar kawan pergi perhentian bas kat Sek.17, aku dan Kak Fiza pergi ke tempat yang dituju. Aku tak pernah pergi lagi kat situ, jadi jalannya tak familiar. Namun, disebabkan kelebihan yang Allah beri (kata Kak Fiza), kami mudah jumpa tempat berkenaan. Alhamdulillah, setakat ni kelebihan yang Allah beri ni jarang benar aku sesat nak pergi mana-mana. Ibaratnya memang aku tak takut nak explore jalan-jalan sekitar sekiranya aku seorang saja.
Dah sampai kat Flaming, kami jumpa dengan kawan opis yang lain dan duduk. Sementara yang lain tengah berebut ambil bahan-bahan steamboat, aku dan Kak Fiza pergi ambil kuih-muih. Malas nak berebut. Makan saja apa yang ada dulu. Dah sudah berbuka dengan air, aku dan Kak Fiza segera bergegas ke surau. Nak tahu, surau di restoran ni sangatlah kecil. Dalam satu masa boleh muat tiga orang je. Jadi, kena pergi awal-awal solat sekiranya tak mahu beratur panjang macam nak tukar duit raya baharu kat bank. Dah lepas solat, barulah puas hati dapat makan macam-macam. Makan sampai kenyang tu. Rugi bayar RM27 tak makan tapi takdelah sampai kembung perut. Setakat merasa sikit-sikit apa yang terliur saja. Yang ruginya, masa kat sini tak sempat nak bergambar. Rasa teruja nak berbuka tu lebih sampai tak teringat.
Ok..aku kembali pada tajuk. Panjang pula cerita tadi. Ada kena mengena la juga sebenarnya. Dah lepas berbuka, kami balik dan masing-masing tidur tak ingat dunia. Ops, lupa. Ada satu cerita lagi sebenarnya. Ingat tak pasal kawan yang kami hantar ke perhentian bas tu. Rupa-rupanya, masa kami hantar dia bas ekspres tu dah lama gerak. Jadi dia tertinggal bas. Sudahnya, malam tu dia tumpang tidur juga rumah Kak Fiza sebelum bertolak balik pagi Sabtu. Serba salah juga kami dibuatnya sebabnya hantar dia gak terlewat sikit dari jadual. Tak sangka pula bas betul-betul bertolak ikut masa. Memang kesian kat dia. Mujur ada seorang lagi housemate Kak Fiza yang baik hati tolong ambil kawan tu kat perhentian bas.
Ok..aku dah lari jauh...kena kembali lagi ke pangkal jalan. Sambung pula cerita bisul. Keesokan hari (hari Sabtu), lepas hantar kawan yang tertinggal bas tu naik bas lain, aku dan Kak Fiza pergi klinik. Masa sampai tu aku tengok ramai juga orang yang datang. Jadi, giliran aku lambat sikit. Dah tunggu agak dalm 20 minit baru nama aku kena panggil. Masa masuk dalam bilik doktor, rasa tenang saja. Takde rasa cuak. Tapi bila doktor suruh aku baring, mulalah rasa cuak datang berganda-ganda. Bila doktor tu spray ubat bius belakang telinga lagilah rasa dug-dag-dug-dag. Masa dia cungkil bisul tu, sakitnya hanya aku dan tuhan je yang tau. Lepas letak dressing, doktor bagitau jangan buka dan kena jumpa dia lagi Isnin tu nak tengok balik ada lagi tak nanah yang tinggal lepas tu kena cuci. Yang paling tak seronok, doktor kata jangan bagi kena air tempat balutan tu. Aiseh, aku tak dapatlah nak basuh rambut. Terasa betapa tak selesanya nanti.
Jadi, hari ni dah Isnin. Maka kejap lagi aku kena keluar jumpa doktor. Tak sabar-sabar nak buka balutan ni. Tak tahan. Rasa nak garu-garu saja. huhuhu.